Showing posts with label study. Show all posts

From Pasir Mas to Southampton - Clarks Village


Membeli-belah di UK merupakan aktiviti yang sangat mengujakan minda, hati dan perasaan. Kebanjiran pusat membeli-belah yang menawarkan pelbagai jenis jenama lokal dan antarabangsa, sudah tentu menjadikan ramai pengunjung rambang mata terutama apabila memasuki musim jualan murah. Antara salah satu pusat membeli-belah di sini adalah Clarks Village.

Clarks Village terletak di Somerset, UK. Ia mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit daripada Southampton untuk sampai ke sini. Namun, oleh kerana kami menggunakan kenderaan yang sedikit usang, perjalanan kami mengambil masa hampir 3 jam disebabkan trafik yang teruk (bila jalan tersekat-sekat, enjin kereta menjadi panas dengan cepat). Kami terpaksa berhenti seketika untuk menurunkan suhu enjin kereta bertentangan dengan Stonehenge. Sekiranya anda melalui motorway (highway di sini dipanggil motorway), anda akan berpeluang menjamu mata melihat batu-batu besar bersusun dalam bulatan. Kami sempat mengambil gambar dari jauh sahaja.







Di Clarks Village, terdapat lebih 90 outlet yang menawarkan harga yang lebih murah berbanding kedai biasa. Antaranya adalah GAP, Clarks Factory, M&S dan lain-lain lagi. Senarai penuh boleh rujuk di bawah:











































Clarks Village dibuka setiap hari. Waktu operasi boleh merujuk gambar di bawah:


Di bawah ini merupakan gambar dalam galeri website Clarks Village:









Sekiranya anda mempunyai banyak masa di UK, jangan lepaskan peluang untuk mengunjugi Clarks Village. Pastikan juga anda mempunyai bajet yang cukup untuk membeli-belah di sini untuk mengelakkan anda kempunan. Pastikan juga anda membawa bekal makanan yang secukupnya bagi mengelakkan lapar dan dahaga. Namun, jangan risau. Anda boleh membeli makanan ringan seperti donut, aiskrim, buah-buahan dan air. Maaf, di sini tiada tom yam, nasi goreng paprik, durian, roti canai dan ais kacang.









From Pasir Mas to Southampton - Car Boot Sales


Aktiviti hujung minggu dan kerapkali juga setiap hari Rabu, dihabiskan dengan mengunjungi car boot sales sama ada di Fair Oak atau Bursledon. Bagi mereka yang kurang arif dengan istilah car boot sales, ia adalah jualan sama ada baru atau terpakai oleh penjual yang menjual barangan mereka di boot kereta. Tapak jualan pula sama ada di kawasan lapang atau di pusat komuniti seperti sekolah dan sebagainya. Barang jualan? Daripada pakaian, mainan, buku, barangan bayi, barangan kosmetik, peralatan dapur, perhiasan rumah, barangan hiasan rumah, DVD, perabot hinggalah basikal. Sudah semestinya anda akan teruja apabila datang ke sini kerana kualiti barang yang dijual boleh dianggap baik dan sebagai pembeli, anda boleh membuat pilihan dan melakukan aktiviti tawar-menawar. 

Jualan car boot ini biasanya lebih meriah ketika musim panas (sekarang ni lah) dan semakin kurang kemeriahannya ketika musim sejuk atau hari hujan. Anda dapat melihat lautan manusia sama ada penjual atau pembeli ketika cuaca baik. Ketika itu, persaingan untuk mendapatkan barang berkualiti amat tinggi berdasarkan konsep 'siapa cepat, dia dapat'. Jika terlampau banyak penjual, maka semakin banyak pilihan yang boleh dibuat. Namun, jika anda berkeluarga seperti Cikjah, kebarangkalian untuk menghabiskan eksplorasi semua car boots adalah amat rendah sekali. Anak-anak biasanya mengajak balik setelah mendapat mainan yang mereka hajati dan menyebabkan pergerakan kami terhad dengan telatah mereka.

Harga jualan di sini sudah tentunya jauh lebih murah dan rendah daripada harga pasaran. Maklumlah, kebanyakan barangan yang dijual merupakan barangan terpakai. Sebuah novel tebal boleh didapati dengan harga kadang-kadang 10p (macam 10 sen di Malaysia). Manakala, pakaian pula rata-rata berharga antara GBP1 hingga GBP2 dan kot serta jaket boleh dibeli dengan harga GBP4. Permainan pula mengikut jenis, kategori, jenama dan fungsi. Teddy bear yang besar biasanya dijual pada harga paling mahal GBP2. Pendek kata, barangan di sini dijual dengan harga yang amat berpatutan. 

Terdapat banyak barang berjenama yang dijual di sini. Bagi koleksi pakaian, anda berpeluang membeli pakaian jenama Dorothy Perkins, Marks & Spencer, H&M, Debehams, GAP, YSL, Ted Baker dan sebagainya. Manakala barangan mainan pula didominasi oleh jenama Fisher Price, Leap Pead, Little Tikes, Lego, Mega Blocks, Barbie dan pelbagai lagi. Barangan bayi pula seperti Avent, Tommee Tippie, Mamas & Papas, Graco, Recaro dan selainnya. Sekiranya anda berkunjung ke UK, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman ini.





















From Pasir Mas to Southampton - Imunisasi Anak


Bagi pasangan yang telah mempunyai anak, rekod imunisasi sama ada dalam bentuk buku (latest version) ataupun kad (previous version), perlu dibawa ke sini. Iminisasi di sini ada yang sama dan ada berbeza serta boosternyer sekali. Di UK, konsep perkhidmatannya sedikit berbeza yang mana ia mengamalkan kaedah marketisation. Maksudnya setiap National Health Service (NHS) atau serupa dengan klinik kesihatan di Malaysia, bersaing antara satu sama lain. Taraf NHS dan hospital juga berlainan yang mana kedua-dua entiti ini tidak sebumbung. Maksudnya, jika di Malaysia, Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan di bawah naungan Kementerian Kesihatan. Di UK pula, amat berlainan sekali. Doktor yang bertugas di NHS dipanggil General Practitioner (GP). Taraf GP dianggap lebih rendah berbanding doktor yang bertugas di hospital.

Sekiranya anda di UK, anda perlu mendaftar di GP yang berhampiran. Dalam konteks Cikjah, kami perlu mendaftar di University Health Service (UHS) di Building 48, University of Southampton. Kami perlu mengisi borang yang disediakan bagi semua isi rumah dan kemudian borang yang lengkap serta dokumen-dokumen iringan dihantar semula ke GP berkenaan. Setelah itu, anda akan menerima surat daripada NHS bagi memaklumkan nombor NHS anda. Setiap isi rumah akan menerima surat yang berbeza.

Bagi pengesahan imunisasi anak-anak, anda perlu membuat temujanji dengan midwife di GP. Pada tarikh temujanji tersebut, anda perlu membawa kad/buku imunisasi anak. Midwife akan meneliti imunisasi yang telah dan yang belum diberi. Sekiranya anda bernasib baik, anak anda akan menerima imunisasi pada waktu itu juga. Selepas itu, anak anda diberikan sticker brave sebagai motivasi.

GP di sini amat mesra kanak-kanak. Ruang khas untuk kanak-kanak dilengkapi bahan bacaan kanak-kanak serta mainan. Midwife juga pandai melayan kanak-kanak. Dipujuk, dirayu kanak-kanak tersebut hinggalah midwife berjaya melaksanakan tugasnya. Part ni Cikjah tabik. 

Apabila sudah selesai, midwife akan memberitahu bilakah imunisasi seterusnya. Beliau juga akan menasihati kita sama ada temujanji akan datang perlu dibuat oleh ibubapa ataupun hanya perlu menunggu surat temujanji NHS. Biasanya bagi anak-anak berusia 5 tahun ke atas, ada dua suntikan imunisasi yang perlu diambil. Seingat Cikjah, satu suntikan booster dan satu lagi untuk meningitis. Bagi anak-anak yang lebih kecil, lebih banyak imunisasi yang perlu diambil mengikut usia mereka. Untuk keterangan lanjut, sila layari http://www.nhs.uk/Conditions/vaccinations/Pages/vaccination-schedule-age-checklist.aspx




Hero dan heroin baru lepas kena cucuk.


From Pasir Mas to Southampton - Rumah Sewa


Keesokan harinya, suami dibawa oleh saudara Faizul dan saudara Fuad untuk melihat rumah daripada luar. Sebenarnya, saudara Faizul telah viewed rumah tersebut dan mencadangkan agar kami menyewa di situ kerana rumahnya yang agak selesa bagi kami anak-beranak. Maklumlah, pada masa tersebut terdapat 3 dewasa dan 4 kanak-kanak. Maka rumah yang luas dan selesa menjadi keperluan dan keutamaan. Kami tiada bantahan atas pemilihan AJK Soton kerana kami percaya kepada pengalaman dan kebolehan mereka dalam mencari penginapan untuk pelajar Malaysia.

Hari ketiga, kami pergi ke pejabat ajen hartanah dan memaklumkan persetujuaan kami untuk menyewa rumah berkenaan yang beralamat di 1, Brighstone Close, Bassett Green, SO16 3EJ, Southampton. Kami membayar GBP3,000 sebagai deposit, sewa bulanan pertama dan lain-lain caj seperti menghentikan View Property oleh orang lain. Kami cuba mendapatkan tarikh lebih awal untuk memasuki rumah berkenaan. Malangnya, rumah tersebut hanya boleh diduduki selepas 26 September 2013. Maka, terpaksalah kami menumpang dengan lebih lama di rumah saudara Imran.

Sepanjang kami menumpang, warga Soton tidak putus-putus memberi makanan, menjemput makan ke rumah dan menghadiahkan pakaian untuk musim sejuk. Saudara Anas dan pasangannya, Aishah, membawa kami membeli keperluan di Asda, Eastleigh seperti bantal, duvet, stok makanan, minuman dan keperluan rumah yang lain. Aishah ketika itu menunggu hari untuk melahirkan anak pertamanya. Ada ketikanya suami diajak oleh warga di sini untuk membeli barang-barang rumah (tong sampah, pinggan mangkuk, cerek, bahan-bahan pencuci dan pelbagai lagi. Ala, macam masuk rumah baru kekdahnya.). Kebetulan ketika kami tiba di UK, daun-daun mula bertukar warna dan menunjukkan bahawa musim luruh akan bermula.

Kemudian kami mendapat berita bahawa saudara Imran akan kembali ke UK pada 25 September 2013. Jadi, kami terpaksa berpindah ke rumah saudara Saiful dan pasangan, Ina di no. 10, Iris Road. kami bermalam semalaman di sana. Ina merupakan pelajar PhD tajaan JPA (sama macam Cikjah la. Dapat HLP) dan merupakan Pegawai Teknologi Maklumat. 

Akhirnya, pada tengahari 26 September 2013, kami mengambil kunci di pejabat ajen tersebut dan berjaya mendapat rumah sewa sendiri. Kami amat teruja melihat rekabentuk rumah Mat Salleh yang fully carpeted, ada pemanas, bath tub dan toilet yang berbunga-bunga seperti Victorian style, dapur yang luas dan stor yang banyak. Anak-anak memang seronok dapat mandi hari-hari dalam bath tub.













Maka, bermulalah langkah pertama Cikjah sebagai pelajar. Pengalaman naik turun bas ketika musim sejuk (pada waktu itu, kami tiada kenderaan lagi) ketika sarat mengandung. Pernah sekali bas rosak dan ketika itu pukul 6 petang (6 petang dah Isyak. Kalau di Malaysia, ketika ini serupa macam pukul 8-9 malam). Maka terpaksa tunggu bas lain. Pernah sekali tunggu bas, tapi bas tak sampai-sampai. Maka ponteng kelas la jawabnya. Tahun 2013, kami sekeluarga bersama ibuku yang ku sayangi, menyambut Raya Haji di bumi Southampton. Alhamdulillah.















Jadi, kepada mana-mana pelajar yang akan keluar negara, anda boleh hubungi persatuan pelajar Malaysia di university masing-masing. Merekalah yang banyak membantu dari segi mencari penginapan dan khidmat nasihat. Jangan malu untuk bertanya. Malu bertanya, sesat jalan. Sesat di Malaysia ok lagi sebab banyak restoran halal. Di negara orang lain dik non. Asyik-asyik kena belek label cari 'Suitable for vegetarian'.