family,
From Pasir Mas to Southampton - Car Boot Sales
Aktiviti hujung minggu dan kerapkali juga setiap hari Rabu, dihabiskan dengan mengunjungi car boot sales sama ada di Fair Oak atau Bursledon. Bagi mereka yang kurang arif dengan istilah car boot sales, ia adalah jualan sama ada baru atau terpakai oleh penjual yang menjual barangan mereka di boot kereta. Tapak jualan pula sama ada di kawasan lapang atau di pusat komuniti seperti sekolah dan sebagainya. Barang jualan? Daripada pakaian, mainan, buku, barangan bayi, barangan kosmetik, peralatan dapur, perhiasan rumah, barangan hiasan rumah, DVD, perabot hinggalah basikal. Sudah semestinya anda akan teruja apabila datang ke sini kerana kualiti barang yang dijual boleh dianggap baik dan sebagai pembeli, anda boleh membuat pilihan dan melakukan aktiviti tawar-menawar.
Jualan car boot ini biasanya lebih meriah ketika musim panas (sekarang ni lah) dan semakin kurang kemeriahannya ketika musim sejuk atau hari hujan. Anda dapat melihat lautan manusia sama ada penjual atau pembeli ketika cuaca baik. Ketika itu, persaingan untuk mendapatkan barang berkualiti amat tinggi berdasarkan konsep 'siapa cepat, dia dapat'. Jika terlampau banyak penjual, maka semakin banyak pilihan yang boleh dibuat. Namun, jika anda berkeluarga seperti Cikjah, kebarangkalian untuk menghabiskan eksplorasi semua car boots adalah amat rendah sekali. Anak-anak biasanya mengajak balik setelah mendapat mainan yang mereka hajati dan menyebabkan pergerakan kami terhad dengan telatah mereka.
Harga jualan di sini sudah tentunya jauh lebih murah dan rendah daripada harga pasaran. Maklumlah, kebanyakan barangan yang dijual merupakan barangan terpakai. Sebuah novel tebal boleh didapati dengan harga kadang-kadang 10p (macam 10 sen di Malaysia). Manakala, pakaian pula rata-rata berharga antara GBP1 hingga GBP2 dan kot serta jaket boleh dibeli dengan harga GBP4. Permainan pula mengikut jenis, kategori, jenama dan fungsi. Teddy bear yang besar biasanya dijual pada harga paling mahal GBP2. Pendek kata, barangan di sini dijual dengan harga yang amat berpatutan.
Terdapat banyak barang berjenama yang dijual di sini. Bagi koleksi pakaian, anda berpeluang membeli pakaian jenama Dorothy Perkins, Marks & Spencer, H&M, Debehams, GAP, YSL, Ted Baker dan sebagainya. Manakala barangan mainan pula didominasi oleh jenama Fisher Price, Leap Pead, Little Tikes, Lego, Mega Blocks, Barbie dan pelbagai lagi. Barangan bayi pula seperti Avent, Tommee Tippie, Mamas & Papas, Graco, Recaro dan selainnya. Sekiranya anda berkunjung ke UK, jangan lepaskan peluang untuk menikmati pengalaman ini.
0 comments: