From Pasir Mas to Southampton - Rumah Sewa
Keesokan harinya, suami dibawa oleh saudara Faizul dan saudara Fuad untuk melihat rumah daripada luar. Sebenarnya, saudara Faizul telah viewed rumah tersebut dan mencadangkan agar kami menyewa di situ kerana rumahnya yang agak selesa bagi kami anak-beranak. Maklumlah, pada masa tersebut terdapat 3 dewasa dan 4 kanak-kanak. Maka rumah yang luas dan selesa menjadi keperluan dan keutamaan. Kami tiada bantahan atas pemilihan AJK Soton kerana kami percaya kepada pengalaman dan kebolehan mereka dalam mencari penginapan untuk pelajar Malaysia.
Hari ketiga, kami pergi ke pejabat ajen hartanah dan memaklumkan persetujuaan kami untuk menyewa rumah berkenaan yang beralamat di 1, Brighstone Close, Bassett Green, SO16 3EJ, Southampton. Kami membayar GBP3,000 sebagai deposit, sewa bulanan pertama dan lain-lain caj seperti menghentikan View Property oleh orang lain. Kami cuba mendapatkan tarikh lebih awal untuk memasuki rumah berkenaan. Malangnya, rumah tersebut hanya boleh diduduki selepas 26 September 2013. Maka, terpaksalah kami menumpang dengan lebih lama di rumah saudara Imran.
Sepanjang kami menumpang, warga Soton tidak putus-putus memberi makanan, menjemput makan ke rumah dan menghadiahkan pakaian untuk musim sejuk. Saudara Anas dan pasangannya, Aishah, membawa kami membeli keperluan di Asda, Eastleigh seperti bantal, duvet, stok makanan, minuman dan keperluan rumah yang lain. Aishah ketika itu menunggu hari untuk melahirkan anak pertamanya. Ada ketikanya suami diajak oleh warga di sini untuk membeli barang-barang rumah (tong sampah, pinggan mangkuk, cerek, bahan-bahan pencuci dan pelbagai lagi. Ala, macam masuk rumah baru kekdahnya.). Kebetulan ketika kami tiba di UK, daun-daun mula bertukar warna dan menunjukkan bahawa musim luruh akan bermula.
Kemudian kami mendapat berita bahawa saudara Imran akan kembali ke UK pada 25 September 2013. Jadi, kami terpaksa berpindah ke rumah saudara Saiful dan pasangan, Ina di no. 10, Iris Road. kami bermalam semalaman di sana. Ina merupakan pelajar PhD tajaan JPA (sama macam Cikjah la. Dapat HLP) dan merupakan Pegawai Teknologi Maklumat.
Akhirnya, pada tengahari 26 September 2013, kami mengambil kunci di pejabat ajen tersebut dan berjaya mendapat rumah sewa sendiri. Kami amat teruja melihat rekabentuk rumah Mat Salleh yang fully carpeted, ada pemanas, bath tub dan toilet yang berbunga-bunga seperti Victorian style, dapur yang luas dan stor yang banyak. Anak-anak memang seronok dapat mandi hari-hari dalam bath tub.












